Thursday 29 September 2011

Selamat Datang ke Dunia Pendidikan Khas.





Menjadi guru pendidikan khas?

Menjadi seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah seperti mana yang dibayangkan oleh sesetengah pihak. Untuk menjadi seorang guru, banyak perkara perlu diambilkira dan banyak kriteria yang perlu ada untuk melayakkan seseorang itu bergelar guru. 

Bukan semua orang sanggup melibatkan diri dalam dunia pendidikan khas. Hanya orang yang terpilih dan mempunyai ketahanan psikologi yang kuat, mampu menghadapi pelbagai cabaran yang dimiliki oleh murid pendidikan khas. Saya sendiri pada awal penglibatan dalam bidang pendidikan, hanyalah guru aliran perdana. Namun pada tahun ke dua mengajar ditawarkan menjadi tenaga pengajar anak-anak istimewa kita. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh semua manusia.

Karier guru dalam dunia pendidikan menjanjikan peluang bagi memberikan perkhidmatan dan menyumbang kepada perkembangan individu. Mendidik kanak-kanak memberikan seorang guru itu ganjaran, kepuasan peribadi dan keyakinan kerana mampu menyampaikan ilmu sebagai seorang yang terlatih dan mempunyai strategi yang teratur. Hasilnya, murid yang dididik akan mampu menggunakan ilmu yang telah dipelajari untuk menghadapi cabaran baru dalam hidupnya. 

Murid yang mengalami masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Mereka perlu ke sekolah dan mendapat pendidikan yang bersesuaian agar tidak terus ketinggalan dan terabai dalam masyarakat. Oleh yang demikian, telah diwujudkan pelbagai program yang telah diselaraskan mengikut keupayaan dan kemampuan mereka agar mereka tidak tersisih dan berasa disisih.

Bagi menghadapi kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran ini, ada ramai guru yang terlatih, yang telah dilengkapi dengan pelbagai kemahiran, telah dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka.


 ~ Anak kesayangan kami, Nur Azira Nazariah ~



Adakah anda adalah salah seorang daripada guru pendidikan khas?
Jika jawapan anda adalah YA, tahniah saya ucapkan. Tidak ramai yang berpeluang untuk mengecapi nikmat sebagai guru pendidikan khas kerana untuk menjadi guru pendidikan khas, bukanlah sama seperti guru-guru biasa. Selain memerlukan kesabaran yang tinggi, banyak perkara lain yang perlu ada dalam diri seorang guru tersebut. Perkara ini akan saya bincangkan dalam Kriteria Guru Pendidikan Khas.


Apabila membuat keputusan melibatkan diri dalam dunia pendidikan khas, kita sebenarnya telah mengambil langkah yang terbaik bagu mempertingkatkan diri ke arah salah satu cabang pendidikan. Kita masih lagi seorang GURU dan masih lagi bergelar PENDIDIK, cuma bezanya, kita menangani murid-murid yang  berkeperluan khas, yang unik dan istimewa sifatnya.

Kelebihan yang dapat dijanjikan ialah kita tidak mungkin menyesal berjuang bersama-sama dalam bidang pendidikan khas ini. Kita juga mungkin tidak meratapi dan merindui murid-murid di kelas biasa aliran perdana.   Kita juga tidak ada masa untuk memikirkan murid-murid yang lalu kerana dunia pendidikan khas penuh dengan cabaran dan keseronokan.

Menjadi  sebahagian daripada dunia pendidikan adalah menyeronokkan. Melangkah ke dunia pendidikan khas, misinya cuma satu yakni membimbing anak-anak berkeperluan khas yang bersifat unik dan istimewa. Kadangkala, sejak kecil lagi, ada di antara kita sudah ada jiwa yang sebati dan timbul azam untuk berbakti kepada anak-anak istimewa ini. Saya sendiri akhirnya jatuh cinta dengan keistimewaan mereka. Saat paling istimewa adalah merekalah yang mencurahkan ilmu kepada saya sebenarnya. Saya hanyalah pembimbing dalam mencorakkan mereka...... 





~ Tiupan semangat kasih guru ~




Menjadi guru pendidikan khas, setiap hari adalah hari baru yang penuh cabaran dan keseronokan. Pengalaman bekerja dengan mereka adalah pengalaman yang sukar dicari dalam bidang lain. Perkara ini membuatkan hidup kita lebih bermakna. Melalui tugas sebagai guru yang mendidik anak-anak istimewa ini, membolehkan kita melihat nilai dan cabaran dalam diri individu serta bagaimana mereka berusaha mencapai sasaran yang telah kita tetapkan. Usaha dan kegigihan mereka dalam mencapai sasaran itulah yang menjadikan kita lebih bersyukur pada diri sendiri di samping menimbulkan rasa ingin membantu mereka dengan sedaya upaya kita. 




~ Ayah & Bonda anak-anak PPKI SKC 2011 ~




~ Warga PPKI SKC 2011 ~




Salam perjuangan " Pendidikan Untuk Semua" 




Curahan kasih,
Esmeralda Mel 2011. . . . . . .